Lawatan amal dan kebajikan ini dianjurkan oleh Unit Keusahawanan dengan kerjasama Unit Alumni Politeknik Nilai. Objektif utama lawatan ini adalah untuk memartabatkan visi dan aspirasi Politeknik melalui program yang berkonsepkan perpaduan, kebajikan dan kemahiran yang dapat memperkasa potensi komuniti setempat.
 
Pusat Pengajian Alquran dan Tahfiz Alfaizin Tawau telah dipilih bukan sahaja peserta lawatan dapat menyantuni dan memberi sumbangan kepada anak-anak tahfiz, malah juga terdapat sesi perkongsian ilmu tentang kaedah pertanian moden oleh Saudari Nur Shafiqah Farahana binti Kaloq, Alumni Jabatan Agroteknologi dan Bio-Industri, Politeknik Nilai (JAB PNS). Slot taklimat ini termasuk sesi demonstrasi pemasangan NFT Kit 15 lubang keluaran syarikat alumni sendiri iaitu Fiqah Agrotech.
 
Aktiviti bersama anak-anak tahfiz ini secara tidak langsung memberikan nilai tambah untuk mereka dalam mempelajari aspek kemahiran insaniah selain menumpukan bidang hafazan dan agama yang sememangnya penting.
 
Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Ahmad Fauzi bin Abdul Samad selaku mudir Pusat Pengajian Alquran & Tahfiz Alfaizin Tawau ini kerana menerima kunjungan lawatan dan meluangkan masa bersama 5 orang pensyarah Politeknik Nilai yang turut sama hadir.
 
Semoga pelajar-pelajar tahfiz ini berjaya dalam hafazan dan ilmu agama dan kemahiran yang dipelajari itu dapat disumbangkan kembali kepada masyarakat.