Program ‘Webinar Keusahawanan: 'Alumni Berbagi Inspirasi’ ini telah dianjurkan bagi tujuan untuk mendedahkan kepada pelajar-pelajar yang mengambil Kursus MPU22012: Entrepreneurship di Jabatan Agroteknologi & Bio-Industri (JAB) dengan perkongsian pengalaman kerjaya dari alumni yang telah berjaya dalam bidang Landskap Hortikultur. Program ini dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar dalam mendepani realiti bisnes serta meningkatkan tahap kemahiran dan ilmu setiap individu dalam bidang keusahawanan di samping dapat melatih individu untuk menjana strategi keusahawanan. Pelbagai ilmu keusahawanan yang menarik telah dikongsikan oleh usahawan muda yang berjaya iaitu alumni Program Hortikultur Landskap En. Muhamad Haziq bin Heirul Nizem. Beliau kini merupakan pengusaha HZ Garden & Nursery yang berlokasi di Kg. Dato' Abu Bakar Baginda, Kajang, Selangor. Antara input yang dikongsikan dalam program webinar ini adalah permulaan perniagaan, cabaran dan dugaan serta strategi perniagaan. Banyak ilmu dan pengetahuan yang telah dikongsi oleh En. Muhamad Haziq bukan sahaja dari segi ilmu kepimpinan dan keusahawanan sahaja, malah beliau juga banyak berkongsikan cara bagi membentuk jati diri yang
mantap
serta mental dan fizikal yang kuat supaya dapat diaplikasikan apabila berkecimpung dalam bidang keusahawanan kelak. Dari segi penyertaan pula, program ini mendapat sambutan yang baik iaitu lebih daripada 130 penyertaan daripada para pelajar Jabatan Agroteknologi & Bio-Industri (JAB) yang mengambil Kursus MPU22012: Entrepreneurship.
Berdasarkan program ini, jelaslah terbukti bahawa masih ramai pelajar yang mempunyai kesedaran untuk menambahkan lagi ilmu keusahawanan serta ingin berkecimpung dalam bidang perniagaan. Oleh yang demikian, program ini ternyata telah memberikan impak yang positif buat diri para pelajar. Banyak pengetahuan, peringatan dan juga nasihat yang dikongsi dalam program ini. Diharapkan agar program sebegini akan terus mendapat sambutan yang baik oleh para pelajar yang tidak kenal erti penat lelah dalam usaha mencari pengetahuan dalam ilmu keusahawanan.