Program ini diadakan bertujuan bagi menyemarakkan semangat kejiranan dan saling bantu membantu terutamanya dalam mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang bersih, ceria dan kondusif.
En. Shuharzi bin Md Salleh, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik telah menyampaikan ucapan aluan bagi mewakili Tuan Pengarah telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga kuarters yang turut serta dalam program tersebut. Beliau seterusnya turut menyatakan hasrat dan pesanan Tuan Pengarah agar warga kejiranan kuarters akan terus lebih aktif dalam melaksanakan program-program yang boleh mengukuhkan hubungan dan ukhwah antara penghuni kuarters. Beliau menyeru warga kuarters agar dapat memanfaatkan fasiliti yang ada seperti Pusat Islam untuk dijadikan tempat sebagai pusat kegiatan komuniti di samping bertujuan untuk mengimarahkan Pusat Islam tersebut.
Program gotong royong ini turut dibantu oleh beberapa orang kakitangan Unit Khidmat Pengurusan (UKP), Unit Aset serta pekerja-pekerja pembersihan bangunan dan kawasan Politeknik Nilai.
Pengerusi Kejiranan Kuarters Politeknik Nilai En. Mohd Saifuddin bin Ahmad turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga kejiranan kuarters serta semua yang terlibat dalam menjayakan program gotong royong kali ini.