Kerjasama Strategik Tiga Institusi Memacu Agenda Kebajikan dan Pendidikan Pelajar Melalui OCBC Al-Amin PPZ AZKA Corner dan Gerobok Rezeki Politeknik Nilai
Nilai, 29 Januari 2026 – Politeknik Nilai dengan penuh kesyukuran telah menganjurkan Majlis Perasmian OCBC Al-Amin AZKA-PPZ Corner, hasil kolaborasi strategik bersama OCBC Al-Amin Bank Berhad dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP). Majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama dan Bilik Kuliah 9 ini telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Syed Abdull Aziz Jailani bin Syed Kechik, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin, bersama YBrs. En. Azlan bin Shaari, Pengurus Besar Kanan PPZ-MAIWP serta disaksikan YBrs. En. Shuharzi bin Md. Salleh, Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik), Politeknik Nilai.
Penubuhan OCBC Al-Amin PPZ AZKA Corner bertujuan menyediakan ruang pembelajaran berasaskan industri yang memfokuskan kepada pengurusan kewangan Islam. Sudut ini bukan sahaja menjadi pusat bacaan dan rujukan akademik, malah berfungsi sebagai platform pembelajaran kontekstual, menghubungkan teori dengan amalan sebenar industri.
Majlis turut menyaksikan simbolik penyerahan dana foodbank Gerobok Rezeki Politeknik Nilai bernilai RM35,000.00 hasil sokongan OCBC Al-Amin dengan kerjasama PPZ-MAIWP. Sumbangan ini bertujuan membantu pelajar yang memerlukan, sejajar dengan nilai ihsan, keadilan sosial dan tanggungjawab bersama yang menjadi teras amalan kewangan Islam. Sudut pembelajaran dan inisiatif kebajikan ini dijangka dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar dan pensyarah untuk pembelajaran berterusan, penyelidikan kecil serta pendedahan awal terhadap sistem kewangan Islam dan pengurusan zakat yang berlandaskan maqasid syariah.
Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik), En. Shuharzi bin Md. Salleh menegaskan bahawa kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan industri ini bukan sahaja memperkukuh literasi kewangan Islam dan pembangunan sahsiah pelajar tetapi juga menyokong Sustainable Development Goals, khususnya SDG 2 (Sifar Kelaparan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat). Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak OCBC Al-Amin dan PPZ-MAIWP atas sokongan, kepercayaan dan komitmen mereka serta berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan diperluas pada masa hadapan.
- Details
- Hits: 78




