Pusat Instruksional dan Pembelajaran Digital
Pengenalan
Bermula sebagai Unit Teknologi Pendidikan dan Multimedia yang ditubuhkan pada 1 Jun 2020 dengan matlamat utama untuk memperkasa pengintegrasian teknologi dalam ekosistem pendidikan. Sejajar dengan keperluan transformasi pendidikan dan perluasan skop tadbir urus akademik yang lebih holistik dan komprehensif, unit ini telah dinaik taraf dan dijenamakan semula secara rasmi sebagai Pusat Instruksional dan Pembelajaran Digital (PIPD) bermula pada 5 Mei 2025.
Di bawah penstrukturan baharu ini, PIPD diketuai oleh seorang Ketua Pusat dan disokong secara bersepadu oleh tiga (3) unit utama, iaitu Unit Pembelajaran Digital, Unit Instruksional, dan Unit Multimedia dan Sumber. Melalui penstrukturan baharu ini, fungsi PIPD telah diperluaskan secara drastik. Transformasi ini menjadikan PIPD sebagai pusat nadi institusi yang bukan sahaja menerajui ekosistem e-pembelajaran dan perkhidmatan multimedia, malah turut memikul tanggungjawab strategik dalam mengurus tadbir operasi instruksional akademik.
Kini, PIPD bukan sahaja bertindak sebagai pemacu utama dalam inovasi teknologi pendidikan, penyediaan perkhidmatan audio visual, dan penerbitan kandungan multimedia (seperti bahan PdP dan podcast), malah ia turut menggalas tanggungjawab kritikal dalam merancang, menyelaras, dan memantau sistem pengurusan akademik termasuklah empat (4) portfolio utama iaitu Projek Akhir Pelajar, Industry Expert Enrichment Programme (IEEP), Sistem Penasihatan Akademik (SPAk), dan Pemantauan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Dengan komitmen berterusan, PIPD komited dalam memastikan kecemerlangan akademik dan pembudayaan digital di institusi dapat dipertingkatkan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan secara menyeluruh selaras dengan perkembangan digital semasa.
- Details
- Hits: 2407







