MYPOLYCC SPORTS CARNIVAL 2023 BANGUNKAN BAKAT DAN POTENSI SUKAN PELAJAR
Bagi menyokong dasar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terhadap Pembangunan Sukan IPT, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melalui Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP) mengambil inisiatif dengan menganjurkan acara MyPolyCC Sports Carnival 2023.
YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi ketika hadir menyempurnakan majlis penutup di Dewan Sri Putra, Politeknik Nilai berkata penganjuran dan karnival sukan adalah bukti jelas bahawa sektor pendidikan tinggi negara adalah sektor yang seimbang.
“Ia menunjukkan bahawa sektor pendidikan tinggi adalah satu sektor yang menyokong apa-apa sahaja potensi dan bakat yang bermanfaat kepada diri pelajar serta negara dan bukan sekadar penekanan serius kepada kecemerlangan pencapaian dalam pembelajaran.”, katanya ketika berucap pada majlis penutup MyPolyCC Sports Carnival 2023 petang tadi.
Penganjuran sukan ini yang berlangsung sejak 23 Julai lalu telah menyaksikan POLYCC Zon Kelantan dan Terengganu dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan. Acara ini telah menghimpunkan seramai 570 orang pelajar serta 150 orang staf dari 10 zon politeknik dan kolej komuniti.
Penganjuran aktiviti sukan ini juga julung kali diadakan dengan penggabungan dua entiti iaitu Majlis Sukan Politeknik (MSP) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM) bergabung tenaga untuk merealisasikan karnival ini.
Sebanyak lima (5) jenis sukan dipertandingkan iaitu Bolasepak, Bola Jaring, Badminton, Petanque dan Woodball dan dikelolakan oleh Politeknik Nilai (PNS), Politeknik Port Dickson (PPD), Politeknik Banting (PBS) dan Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL).
Turut hadir pada majlis penutup ini adalah YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Encik Tony Azman bin Hassan, Ketua Penolong Setiausaha Strategik dan Pengurusan, KPT mewakili mewakili YBhg. Dato’ Dr. Pekan Ramli, Timbalan Setiausaha Bahagian (Strategik Pengurusan) Seksyen Sukan, KPT, YBrs. Ts. Zainab Othman, Pengarah Kanan (Kompetensi)
JPPKK, Pengarah-pengarah Bahagian JPPKK serta Pengarah-pengarah POLYCC.
- Details
- Hits: 668